Mereka ialah ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi, 44, yang mewakili BN manakala Pas pula akan diwakili oleh ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman, 58.

Pemilihan Budiman diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis di sini manakala calon Pas diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Markaz Induk Pas Sungai Besar dekat sini malam ini.

Dalam perkembangan sama, PAN dijangka mengumumkan calonnya bagi kerusi itu Rabu ini.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil kira pelbagai aspek, justeru semua pihak harus memberikan sokongan sepenuhnya.

“Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh semua kaum.

“Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di Parlimen Sungai Besar nanti.

“Terlalu ramai yang layak menjadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh memberi sumbangan untuk meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon,” katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN bagi PRK Parlimen Sungai Besar di sini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Perge­rakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta pimpinan komponen BN.

PRK Sungai Besar tersebut diadakan ekoran kematian Noriah dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Sementara itu, Ab­dul Hadi berkata, setelah pemimpin Pas Selangor menghantar senarai nama kepada Pas Pusat dan dibin­cangkan di Majlis Syura Ulama, parti ter­sebut memutuskan un­tuk memilih Dr. Abdul Rani sebagai calon.

“Pemilihan ini di­buat kerana kita mahukan seorang tokoh yang terkenal dengan tindakannya yang sering ‘terjun bersama rakyat’ ,” katanya.

Antara pemimpin Pas yang hadir dalam majlis pengumuman itu ialah Naib Presidennya yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad; Pengarah Pilihan Raya Pas Sela­ngor, Ir. Mohd. Haslin Hassan dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Sementara itu di Kuala Kangsar, Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr. Najihatussalehah Ahmad di­umumkan sebagai calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Dr. Najihatussalehah, 50, bertan­ding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Belanja namun kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Nizar Zakaria.

Berasal dari Kampung Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri dekat Kampung Gajah, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Parit.

Pengumuman calon dibuat oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis pengisytiharan di Bukit Chandan, di sini hari ini.