Penyelaras Himsak Pasir Puteh, Mohd. Dzalwan Zainal Abidin berkata, anak muda yang menuntut di beberapa universiti awam dan swasta nekad berkerja keras pada saat akhir berkempen bagi mengembalikan pentadbiran negeri ini kepada pemimpin BN. 

Menurutnya, pujukan dan rayuan untuk undi BN mula digerakkan dalam kalangan keluarga masing-masing untuk mengakhiri episod pemerintahan lama sejak 28 tahun di bawah Pas. 

"Hampir keseluruhan mahasiswa yang pulang ke sini adalah kali pertama akan menunaikan tanggungjawab menggundi. Kami pulang dengan hasrat yang satu dan senada untuk mengundi calon BN. 

"Kepulangan kami dengan semangat untuk melihat landskap Pasir Puteh dan Kelantan berubah selepas ini," katanya ketika ditemui Utusan Online pada majlis ramah mesra calon Parlimen BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Padang Pak Amat, dekat sini, hari ini. 

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika ditemui pemberita berkata, pendekatan anak muda amat berbeza berbanding sebelumnya kerana mereka sedar negeri ini perlu berubah wajah di bawah pentadbiran kerajaan BN. 

"Kalau ada yang mengatakan menolak BN, saya rasa ini hanya propaganda murahan parti pembangkang yang mencanang sentimen kebencian terutama di medis sosial. 

"Hakikatnya anak muda semakin matang dapat berfikir dengan bijaksana. Mereka menyedari bahawa tiada parti lain yang boleh menandingi saf kepemimpinan BN demi masa depan dan hala tuju negara," katanya. 

Asyraf Wajdi berkata, perubahan juga dapat dilihat menerusi semangat kental perantau yang pulang untuk mengundi tidak lagi dihiasi atau kibaran bendera parti pembangkang berbanding yang berlaku pada PRU-13. 

Menurutnya, hasrat pengundi luar untuk membantu mengilap kecemerlangan Kelantan amat dihargai selepas mereka sedar perpecahan politik dan niat tersirat gabungan pembangkang PKR yang akan merugikan generasi akan datang. 

Katanya, BN dulu, kini dan selamanya menawarkan perkhidmatan kepada rakyat tanpa janji kosong yang menggambarkan harapan majoriti rakyat. 

"Dengan doa dan keizinan Allah SWT semoga harapan kemenangan pada PRU-14 ini dapat diterjemahkan dalam kertas undi rakyat sebagai penentu yang muktamad," katanya. - UTUSAN ONLINE