Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, itu adalah tindakan yang perlu diambil oleh sebuah institusi kewangan dan jumlah itu munasabah berikutan RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sehingga kini tidak dapat dijejaki.

“Yuran yang dibayar untuk khidmat mereka tidak dilaksanakan dengan sewajarnya dan melanggar tanggungjawab fudisiari. Hakikat bahawa mereka menguruskan perjanjian di mana 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran, itu tidak masuk akal. Saya berpendapat ramai orang boleh lakukan itu tanpa membayar 600 milion Dolar AS,” katanya dalam satu wawancara bersama CNN baru-baru ini.

Dalam wawancara sama, Guan Eng turut menegaskan bahawa Goldman Sachs mempunyai maklumat mengenai skandal 1MDB kerana eksekutif kanan firma itu telah mengaku bersalah dan mempunyai akses penuh kepada bekas ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs.

Tegasnya lagi, sekiranya Goldman Sachs enggan membayar ganti rugi, Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi kewangan itu.

“Mereka akan mengisytiharkan pendapatan tahunan pada bulan depan. Kami berharap Goldman Sachs membuat peruntukan untuk pembayaran ganti rugi kepada Malaysia dan mereka perlu bertanggungjawab.

“Bagaimanakah anda boleh menafikan tanggungjawab apabila anda mengutip sejumlah besar yuran, dan pada masa sama, menyiarkan kenyataan bahawa anda mewakili Malaysia, saya tidak fikir mereka boleh melarikan diri begitu mudah,” tegasnya.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, firma itu mendapat manfaat melalui pe­nerimaan yuran taja jamin dan pengaturan sebanyak kira-kira RM2.5 bilion (AS$600 juta) yang berkali ganda lebih tinggi daripada kadar pasaran.

Goldman Sachs terus disiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sejak 1 November lalu yang membawa kepada dua bekas eksekutif Goldman Sachs dituduh menjadi pemain utama dalam skandal 1MDB.

Seorang bekas pegawai Goldman, Tim Leissner, mengaku bersalah dan bersetuju membayar $43.7 juta sebagai ganti rugi kepada pendapatan secara tidak sah diperolehinya.

Dalam penerbitan sekuriti 2 November, Goldman Sachs menyatakan dokumen jenayah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman mendakwa “sistem kawalan perakaunan dalaman firma itu boleh dengan mudah dielakkan dan bahawa budaya perniagaan firma, khususnya di Asia Tenggara, pada masa-masa yang mengutamakan penawaran sebarang urusan berbanding pematuhan yang betul. 

Goldman Sachs berkata ia bekerjasama dengan pendakwa raya persekutuan dan pihak berkuasa lain, sambil menambah bahawa ia “tidak dapat meramalkan hasil” siasatan itu tetapi resolusi itu boleh menyebabkan “denda penting, penalti dan sekatan lain terhadap firma itu. - UTUSAN ONLINE