Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut merangkumi projek kecil luar bandar (MRP), projek transformasi luar bandar (RTP) dan penyelenggaran pusat khidmat.

"Kita akan memperuntukan sama seperti ADUN BN di sini iaitu RM1 juta bagi MRP, RTP (RM5 juta) dan penyelenggaran pusat khidmat (RM250,000).

"Peruntukan tahunan itu mengikut pembangunan projek-projek yang dibuat di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Web e-Cemetary dan Pengagihan Bubur Masja-Sa di sini sebentar tadi.

Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) telah bekerjasama dengan Sarawak Information System Sdn. Bhd. (Sains) telah membangunkan Projek Sistem e-Cemetary Gis berkenaan.

Sistem itu berfungsi untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pencarian nama jenazah di Tanah Perkuburan Semariang yang telah mencecah 15,222 orang.

Sementara itu, ketika ditanya bila mesyuarat antara parti komponen BN Sarawak mengenai hala tuju dan kedudukan mereka, Abang Johari memberitahu, dalam bulan Ramadan mulia ini, biar tumpu untuk beribadah dahulu.

Katanya, nanti akan dimaklumkan tarikh bagi mesyuarat komponen BN Sarawak itu. - UTUSAN ONLINE