Pemberian bantuan khas itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Program Rapat Ramadan Bersama Kakitangan Awam Selangor 2018 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan bayaran bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada 755 penjawat awam daripada jabatan-jabatan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini antaranya Pejabat Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

“Kesemua pembayaran bantuan khas kepada penjawat awam ini akan dilakukan pada 25 Jun iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana, kerajaan negeri telah mengeluarkan pekeliling melaksanakan pembayaran gaji bulan Jun lebih awal iaitu Rabu ini (6 Jun).

“Kita (kerajaan negeri) tidak mahu membuat pembayaran bantuan khas sekaligus dengan gaji. Kita jadualkan semula pembayaran ini supaya para penjawat awam dapat menguruskan kewangan dengan lebih baik dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin ketika berucap dalam program itu turut mewajibkan pemotongan 10 peratus bayaran bantuan khas melibatkan para pegawai kerajaan gred 44 ke atas untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia sekaligus membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. - UTUSAN ONLINE