Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon adalah pada 30 Mac sementara hari mengundi awal pada 9 April.

Katanya, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 12 April.

“Untuk PRK ini, sebanyak 515 petugas dilantik untuk me­ngendalikannya manakala sebanyak 16 pusat mengundi yang me­ngandungi kesemuanya 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berhubung PRK berkenaan di Ibu pejabat SPR disini hari ini.

Selepas sidang akhbar itu, Azhar menyerahkan watikah pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Rantau kepada Pegawai Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus. Hadir sama, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan, kos keseluruhan bagi kesemua PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk di DUN Rantau adalah sebanyak RM15.3 juta.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi tujuh PRK iaitu Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Cameron Highlands, Semenyih dan yang terbaharu, Rantau.

“Peruntukan bagi enam PRK dan termasuk di DUN Rantau ini semua berjumlah RM15,348,733,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung isu kain rentang didakwa mempunyai unsur provokasi, Azhar berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan terhadap perkara berkenaan.