Lebih mengejutkan apabila kesemua premis berkenaan mendapat kelulusan daripada PBT tanpa sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, pihaknya kesal kerana kerajaan negeri meluluskan 1,279 premis itu melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selain 842 premis tidak berlesen masih beroperasi.

"Daripada jawapan Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota), beliau mendedahkan 664 premis diluluskan MBPP manakala 635 premis mendapat lesen MPSP. Beliau juga memaklumlan terdapat 97 premis di bawah MBPP dan 745 premis di bawah MPSP beroperasi tanpa lesen.

"Kita tahu ada serbuan dibuat tetapi kerajaan negeri dipercayai tidak memperhalusi pengeluaran lesen baharu selain tidak mengenakan tindakan ke atas premis yang beroperasi secara haram," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr. Muhammad Farid Saad dan ADUN Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Dalam masa sama, Jahara berkata, pihaknya turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang sewenang-wenangnya melakukan pengezonan semula tanah pertanian dan tanah bukit tanpa kelulusan pihak berwajib seperti Jabatan Pertanian.

"Dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC), kerajaan negeri dilihat mengetepikan pandangan agensi kerajaan dalam membuat semua keputusan berkenaan.

"Ini akan menyebabkan kita menghadapi masalah kekurangan tanah pertanian subur sekali gus memberi risiko kekurangan makanan dan ikan serta perlu mengimportnya dari luar," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Farid menyelar kerajaan negeri yang seolah-olah tidak mahu menerima pandangan pakar daripada agensi kerajaan sebaliknya menggunakan kuasa mereka dalam menjadi pembuat keputusan yang terakhir. - UTUSAN ONLINE