Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, tempoh tersebut termaktub di bawah Perkara 55 (4): Memanggil, Memprorog dan Membubarkan Parlimen, Perlembagaan Persekutuan.

Shamrahayu yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, perkara tersebut menggariskan;

‘Apabila Parlimen bubar, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu’.

“Jadi, sepatutnya istiadat menghadap Yang di-Pertuan Agong perlu dilakukan secepat yang mungkin dan proses membentuk kerajaan perlu dibuat dalam tempoh yang digariskan Perlembagaan Persekutuan iaitu 120 hari selepas bubar Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 7 April lalu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dan 120 hari selepas tarikh tersebut adalah 4 Ogos ini.

Semalam, Pakatan Harapan yang dipimpin Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad meng­umumkan memperoleh majoriti mudah di Parlimen dan menguasai enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Johor.

Sementara itu, Pakar Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melantik Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, Perkara 43(2) menyebut Yang di-Pertuan Agong harus melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri,” katanya.