Berikut merupakan hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasminya di sini hari ini:

1. Calon yang berwibawa daripada kalangan Orang Asli Kaum Semai dan anak tempatan memberikan kelebihan kepada Ramli Mohd. Nor.

2. Sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kerja kuat pimpinan dan jentera Pas yang bersungguh-sungguh memujuk lebih 2,000 ahli tegar Pas terutamanya di Peti Undi Kg. Keledek (BN tidak pernah menang peti undi ini), Peti Undi Bukit Kota dan Sungai Koyan 3.

3. Kerjasama kukuh dan gerak kerja sepadu semua jentera BN termasuk sayap-sayap yang berkampung lebih dua minggu di semua kawasan peti undi seluruh Parlimen. Sebagai contoh, Pemuda UMNO ada yang berkhemah tepi sungai di perkampungan orang asli untuk memastikan program berterusan dapat dijalankan dengan lancar.

4. Buat pertama kali, Wanita UMNO dan Muslimah Pas bergandingan bersama bergerak naik turun rumah ke rumah pengundi terutamanya di kawasan DUN Jelai.

5. Kegigihan dan keikhlasan jentera UMNO di semua peringkat yang datang dari seluruh negara untuk membantu tanpa mengira penat ataupun mengharapkan sebarang upah mahupun duit minyak.

6. Sentiman orang Asli kaum Semai yang masih kuat sayangkan BN dan merasa terhutang budi kepada pimpinan terdahulu. Ini dapat disaksikan dengan kehadiran beramai-ramai ketika Datuk Seri Najib Tun Razak turun berkempen di kawasan mereka.

7. Rakyat khususnya peneroka Felda amat merasai kesan kos sara hidup yang meningkat dengan kejatuhan harga komoditi sawit dan getah. Mereka tidak nampak Kerajaan PH melakukan tindakan yang berkesan untuk menggerakkan pelan bagi tujuan untuk menaikkan semula harga komoditi.

8. Rakyat masih tertipu dengan segala janji-janji kosong Kerajaan PH yang masih tidak mengotakan segala apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU-14 lalu.

9. Rakyat khususnya Orang Melayu dan Bumiputera rata-rata mahu melihat kerjasama utuh antara UMNO dan Pas sebagai isyarat ke arah penyatuan ummah dan kestabilan negara keseluruhannya.

10. Faktor populariti Najib juga banyak menyumbang ke arah kemenangan besar kali ini terutamanya dalam kalangan peneroka Felda dan Orang Asli yang masih merasakan jasa dan sumbangan beliau kepada mereka. -UTUSAN ONLINE