Program anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) dengan kerjasama Kementerian Kewangan itu telah bermula seawal pukul 7 pagi dan berakhir pukul 10 malam yang menyediakan lebih 15 aktiviti kepada pengunjung.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat tengah hari ini, seramai 5,000 pengunjung telah hadir untuk menyertai aktiviti serta mendapatkan pelbagai jenis perkhidmatan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

“Program hari ini adalah lebih kepada pesta rakyat bersempena dengan penganjuran program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) untuk rakyat di kawasan Parlimen Ketereh.

“Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan yang menyediakan Mobile CTC ini kepada penduduk di kawasan ini. Jadi, mereka tidak perlu ke bandar untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui pada program OPT Perdana 4.0 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Penolong Pengarah Unit Strategik Nasional Kementerian Kewangan, Nur Saffawati Ismail.

Tambah Annuar, menerusi program ini juga, pihaknya turut membuat pemberian cermin mata percuma serta sumbangan beras kepada penduduk setempat.

“Kita menyediakan 3,000 kampit beras lima kilogram untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar Ketereh.

“Selain itu, kita turut membuat pemeriksaan mata serta pemberian 5,000 cermin mata percuma,” katanya. - UTUSAN ONLINE