Menurut beliau, isu MB Inc. sudah dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu lagi dan perkara itu dibangkitkan lagi dalam sidang DUN kali ini.

Beliau berkata, apa yang menghairankan walaupun perkara itu sudah beliau jawab berulang kali namun pembangkang masih membangkitkan perkara yang sama.

“Saya sering kali bertanya mengapa MB Inc. ini menjadi sasaran, menjadi musuh mereka.

“MB Inc. ini bukan saya punya. Mungkin ada yang tersirat kerana mereka sering membangkitkan isu ini.

“Saya tidak mahu membuat ramalan atau sangkaan yang tidak baik tetapi apabila isu ini sering dimainkan, maka saya berhak bertanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas sidang DUN di sini hari ini.

Sepanjang sesi sidang DUN ne­geri, wakil rakyat pembangkang mendesak supaya laporan audit MB Inc. dibentangkan di sidang DUN.

Mengenai perkara itu, Zambry berkata, dari segi amalannya terma­suk Yayasan Menteri Besar di negeri-negeri lain tidak membentang laporan audit dalam sidang DUN.

Menurut beliau, begitu pun itu tidak bermakna laporan audit MB Inc. tidak dibuat malahan audit dalaman dan luar tetap dibuat di peringkat syarikat.

“Saya cabar pembangkang supaya menyemak di negeri lain termasuk Pulau Pinang ada atau tidak Yayasan Menteri Besarnya membuat pembentangan laporan audit dalam sidang DUN,” katanya.

Menurut Zambry, pengaktifan MB. Inc. telah terbukti berjaya mengurangkan ketirisan dalam pengurusan sumber mineral negeri.

Katanya, malahan menerusi pe­ngurusan yang bersistematik oleh MB Inc., royalti daripada sumber mineral kerajaan negeri meningkat.

“Royalti mineral negeri naik 106 peratus iaitu kepada RM13.9 juta berbanding hanya RM6.7 juta tahun lalu,” katanya.