Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Zambry bidas sikap wakil rakyat pembangkang

Zambry ABD. KADIR menjawab soalan lisan k etika Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13 di Bangunan
ZAMBRY ABD. KADIR menjawab soalan lisan k etika Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.

IPOH 11 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membidas wakil rakyat pembangkang kerana sering membuat perbandingan dengan negeri lain dalam isu-isu yang dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurutnya, wakil rakyat pembangkang kerap membuat perbandingan kononnya negeri yang diperintah oleh pembangkang lebih baik menyebabkan matlamat persidangan DUN Perak tersasar.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan persidangan DUN Perak tidak lagi terarah kepada isu-isu yang berkaitan dengan negeri Perak.

“Janganlah selalu membuat perbandingan. Ini kerana kerajaan negeri pun akan membuat perbandingan mengenai kelemah­an dan keburukan negeri yang diperintah pembangkang yang mana akhirnya matlamat persidangan DUN Perak tidak dapat diberikan tumpuan.

“Oleh itu wakil rakyat pembangkang jangan lagi membawa perbandingan negeri lain. Bawalah isu yang berkaitan dengan negeri kita sendiri, ja­ngan bawa isu negeri lain kerana semata-mata disebabkan negeri lain itu seangkatan dengan parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung titah perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 hari ini.

Zambry turut membidas pembangkang kerana bersikap hipokrit mereka apabila menu­duh majlis menandatangani dan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri dan anggota pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini sebagai satu sandiwara.

Menurutnya, ini berlainan apabila pembangkang cepat melatah dengan menuduh tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin pembangkang bermotifkan politik.

“Tetapi apabila tindakan yang sama dikenakan terhadap pemimpin kerajaan, pembangkang dengan cepat akan meminta yang individu yang didakwa meletak jawatan. Ini merupakan hipokrit yang cukup besar yang diamalkan pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengenalpasti pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen mengenai aset anak syarikat milik kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc) kepada umum.

Menurutnya, beliau tidak akan berkompromi dalam soal tersebut kerana pegawai kerajaan sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga rahsia kerajaan seperti mana yang termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Perbuatan membocorkan rahsia kerajaan ini jika tidak dihalang akan memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan.

“Setiap kakitangan awam bertanggungjawab menjaga dan melindungi dokumen kerajaan dan bukan mendedahkannya kepada umum,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan negeri memandang serius teguran Sultan Nazrin mengenai aktiviti komersial yang mengancam keindahan Pulau Sembilan.

Menurutnya, dalam hal ini kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dalam pengurusan Pulau Sembilan yang cuba mengorbankan khazanah alam semula jadi di pulau tersebut.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menceroboh pulau tersebut dalam memastikan khazanah di pulau tersebut dipelihara.

“Antara tindakan yang diambil ialah menutup sementara Pulau Sembilan sejak 1 April lalu kepada sebarang aktiviti pelancongan,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain