Dipilih sebulat suara sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tidak membuang masa melakukan ‘tugas’ beliau dengan mengkritik pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beberapa wakil rakyat ‘junior’ dari PH mencelah ketika perbahasan Ahmad Zahid, namun mereka disindir pedas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika membahaskan usul men­junjung kasih menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang hari ini, Ahmad Zahid me­lontarkan persoalan sama ada menjadi kesalahan jika mempertahankan apa terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut bertanya sama ada menjadi kesalahan mempertahankan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan soal bahasa Melayu, Ahmad Zahid menuntut penjelasan sama ada usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan boleh dianggap sebagai mengetepikan bahasa lain.

“Mana boleh samaratakan semua agama kerana yang termaktub dalam Perlembagaan harus dihormati. Bagaimana hak istimewa orang Melayu bukan sekadar kontrak sosial tetapi mendapat persetujuan semua.

“Apakah rasis jika perkara itu dibangkitkan oleh mereka yang rasa Perlembagaan harus dipertahankan. Apakah dianggap pengganas kerana pertahan Islam?” soalnya.