Menteri Ke­se­­jahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (gambar) berkata, langkah itu bagi mengelakkan masyarakat mengalami kerugian beratus ribu akibat menjadi mangsa penipuan ejen-ejen perumahan palsu atau haram.

“Kerajaan menyedari banyak kes-kes penipuan pembelian perumahan dan hartanah telah menjalankan modus operandi menyiarkan iklan masing-masing di pelbagai media antaranya di televisyen dan akhbar hingga menyebabkan masyarakat mudah terpedaya selain beranggapan projek perumahan itu mempunyai lesen.

“Atas sebab itu, kementerian bercadang untuk menggubal satu undang-undang bagi mengenakan peraturan terhadap semua pihak yang ingin iklankan sesuatu kena merujuk kepada Jabatan Perumahan Negara terlebih dahulu sebelum ia boleh disiarkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai langkah kerajaan mengharamkan ejen-ejen perumahan palsu dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam per­kem­bangan sa­ma, Noh berkata, kementerian turut membantu para pembeli yang menjadi mangsa ejen perumahan haram melakukan tuntutan sivil bagi membolehkan mereka layak mendapat ganti rugi.

“Mangsa yang tinggal di kawasan bandar misalnya, kemen­terian menawarkan Projek Pe­­ru­mahan Rakyat (PPR) dengan kelulusan khas sebanyak RM35,000 menerusi sistem sewa untuk beli (rent to own) manakala mereka yang memiliki tanah pula ditawarkan kelulusan khas di bawah pinjaman perumahan sebanyak RM65,000 bagi membina kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian keti­ka menjawab soalan tambahan Che Rosli Che Mat (Pas- Hulu Langat) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai alternatif seperti menyediakan pampasan ganti rugi kepada pem­beli yang menjadi mangsa ejen perumahan tidak berlesen.

Terdahulu, Noh memberi­ta­hu, sebanyak 207 aduan penipuan pembelian hartanah daripada pemaju berlesen telah diterima Jabatan Perumahan Negara dan diselesaikan bagi tempoh 1 Januari 2013 hingga 30 Oktober 2017.

Katanya, Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata pula menyelesaikan 95.9 peratus atau 7,108 daripada 7,413 aduan penipuan pembelian hartanah pemaju berlesen dari 1 Januari 2014 hingga 30 September 2017, manakala selebihnya dalam proses tindakan.