Setiausaha Agung UMNO itu mengakui bahawa masalah yang dihadapi UMNO Sabah adalah unik dan agak kompleks.

Jelas beliau, apa yang dapat dirumuskan daripada pertemuan itu adalah mereka mahu bersama kerajaan kerana pelbagai perkara termasuk peruntukan dan kewangan.

“Saya atas arahan Presiden telah mengadakan perbincangan hati ke hati dengan mereka, kita UMNO terpaksa berterus terang kalau bercakap soal wang, kita tidak ada wang malah semua akaun kita dibekukan.

“Jadi saya serahkan kembali kepada kawan-kawan kita di Sabah untuk membuat keputusan tetapi keputusan itu terhad atas sifat peribadi masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Empat Ahli Parlimen UMNO Sabah dijangka keluar parti hari ini bagi menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Memetik laporan sebuah portal berita, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor juga dijangka mengumumkan pembubaran parti itu esok.

Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Abd. Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd. Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee. - UTUSAN ONLINE