Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) berkata, hakikat itu perlu dipegang bukan sahaja oleh umat Islam malah penganut agama-agama lain.

“Walaupun manifesto bukan kitab suci tetapi ia satu janji. Kitab suci wajibkan kita tunai janji,” kata­nya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mencelah perbahasan tersebut ber­tanya pandangan Ab­dul Hadi yang juga Presiden Pas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyebut manifesto itu bukan satu kitab suci atau janji yang perlu dipenuhi.

Dalam pada itu, ketika ditanya Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) mengenai Dr. Mahathir yang mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memelihara Islam dengan hanya merujuk al-Quran yang benar dan bukan berdasarkan hadis, Abdul Hadi berkata, hadis merupakan penjelasan kepada umat Islam bagaimana untuk mengamalkan al-Quran.

“Perlu diketahui ba­ha­wa hadis adalah penjelasan kepada bagaimana untuk amalkan al-Quran, perlu rujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang ini,” katanya.

TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN

Sementara itu, da­lam soal menangani kos sara hidup rakyat yang semakin mening­kat, beliau berkata, kerajaan tidak boleh sekadar bergantung kepada konsep percukaian yang meringankan beban kerajaan tetapi bukan rakyat.

“Rakyat tidak mampu menghadapi tekanan inflasi yang tidak terkawal.

“Ia bukan sekadar tukar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), seperti curi tangan kanan kemudian curi tangan kiri dengan sakit yang sama atau lebih sakit lagi,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, kerajaan PH perlu memberi penekanan kepada konsep ekonomi Islam yang memberikan tumpuan kepada soal halal serta haram dan memerangi rasuah atau riba dalam ekonomi.