Ketua Projek Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin berkata, jika pada SFJ 2016, PMT mempertaruhkan Jebat kali ini mereka mempertaruhkan Lekir yang dianggotai seramai 13 orang pelajar

"SFJ 2016 memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pertandingan lumba kereta dari segi aspek teknikal dan pengurusan.

"Jadi kali ini kita cipta kereta lebih ringan iaitu seberat 250 kilogram berbanding dahulu 393 kilogram. Ciptaan ini berdasarkan keadaan selekoh litar," kata Dr. Mohd Khairol Anuar yang ditemui selepas pelancaran Projek Lekir di Fakulti Kejuruteraan hari ini.

Lekir yang diambil daripada nama pahlawan Melayu dibina dalam tempoh tiga bulan dengan kos RM20,000. PMT menyasarkan untuk memenangi 'Best Design Presentation' dan "Best Business Presentation' bagi kategori 'Static Event'.

Sementara itu Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Dr Zulkiflle Leman berkata, dengan adanya pertandingan seumpama itu ia dapat mencungkil bakat para pelajar dengan mempraktikkan pembelajaran yang diajar di bilik kuliah.

"Saya sangat berharap agar pasukan yang satu-satunya mewakili Malaysia ini dapat mengharumkan nama negara serta mendapat tempat sekurang-kurangnya di tangga 50 terbaik," katanya.

Dalam nada yang sama, Ketua Pasukan PMT, Ahmad Iffan Zailani berkata, semangat pasukan yang kuat membuatkan Lekir berjaya dihasilkan.

"Walaupun kami berhadapan kekangan masa namun dengan  pasukan yang hebat macam ini, mereka sanggup tak tidur malam, tidur di makmal demi menghasilkan kereta yang berkualiti," kata Ahmad Iffan.- UTUSAN ONLINE