Itulah pepatah paling sesuai bagi menggambarkan situasi yang dihadapi Menteri di Jabatan Perdana, Senator P. Waytha Moorthy ketika ini.

Biarpun video temu bual beliau memburuk-burukkan Malaysia dirakam 10 tahun lalu, perkara itu menjadi bukti bahawa Waytha Moorthy pernah berbuat fitnah yang memalukan negara ini.

Ekoran insiden itu, sesi Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila barisan pembangkang menggelar Waytha Moorthy sebagai rasis.

Kekecohan tercetus sewaktu Waytha Moorthy menggulung Belanjawan 2019 yang turut menyentuh tentang isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam sesi tersebut, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff terpaksa menutup sistem pembesar suara untuk meredakan keadaan, namun Waytha Moorthy terus diasak sampai terduduk.

Lebih-lebih lagi apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang (BN-UMNO), Tan Sri Noh Omar bangkit memohon penjelasan menteri itu tentang videonya yang tersebar dalam media sosial ketika ini.

“Saya nak tentang pandangan peribadi. Kenapa di luar negara Yang Berhormat cakap lain, dalam dewan Yang Berhormat cakap lain,” soal Noh Omar.

Soalan itu seterusnya membuatkan Waytha Moorthy tetap menegaskan kerajaan terdahulu sememangnya melakukan diskriminasi terutamanya terhadap kaum India.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu mengamalkan diskriminasi dan saya mempunyai bukti,” jawabnya ringkas namun terus menerima kecaman bertalu-talu.

Sesi itu turut menyaksikan Ahli Parlimen Kubang Kerian (Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bangun sekali gus mengusulkan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjawab soalan berkaitan ICERD.

"Yang Dipertua, saya fikir jawapan yang diberikan oleh menteri merupakan polemik dalam dewan. Saya fikir beliau tidak layak untuk menjawab dan Perdana Menteri harus menjawab soalan yang dikemukakan," katanya. – UTUSAN ONLINE