Abdul Hadi yang merujuk kes Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau ‘Ahok’, menzahirkan kekecewaan beliau apabila terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang beliau percaya tidak mewakili keseluruhan masyarakat bukan Islam menggunakan isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 untuk mendapatkan keuntungan politik ma­sing-masing berban­ding kepen­tingan awam.

Sedangkan jelas Ahli Parlimen Marang itu, usul dibawa beliau ke Dewan Rakyat hanya berkait dengan umat Islam dan perkara-perkara berhubung agama Islam di bawah raja-raja Melayu yang sepatutnya tidak diganggu oleh bukan Islam.

Beliau juga mengingatkan ba­hawa tujuan rang undang-undang itu dibentangkan adalah untuk memperkasa dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang telah diletakkan di taraf hina sejak zaman penjajahan lagi.

“Mahkamah Syariah telah diperkasa sebanyak dua kali iaitu pada 1965 dan 1984, tanpa mendapat tentangan daripada ahli-ahli Parlimen bukan Islam ketika itu. Ini termasuk pada 1965 ketika mendiang Lee Kuan Yew masih ada, pada 1984 ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang bukan Islam tidak menimbulkan apa-apa tentangan.

“Malangnya, kali ini menun­jukkan bagaimana ahli parlimen, (ahli-ahli) politik bukan Islam cuba menunjukkan campur tangan, sedangkan ini urusan penganut Islam dan raja-raja. Saya beri peringatan kepada mereka supaya jangan jadi macam Ahok di Jakarta, jangan berlagak macam Ahok,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Sidang akhbar itu dibuat se­jurus selepas Abdul Hadi mem­bentangkan RUU355 dan menangguhkan penjelasan me­ngenainya pada sidang Dewan Rakyat Mac tahun depan.

Peringatan supaya tidak menjadi seperti Ahok itu dibuat Abdul Hadi merujuk kepada tunjuk perasaan besar-besaran dalam kalangan umat Islam di Jakarta, Indonesia baru-baru ini sehingga menyebabkan berlakunya kematian berikutan tindakan Gabenor Jakarta itu yang didakwa menghina al-Quran.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengumumkan bahawa Pas akan anjurkan himpunan aman raksasa mewakili umat Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam menyokong rang undang-undang berkenaan.

Katanya, tarikh perhimpunan raksasa itu akan ditentukan dan tidak semestinya dalam tahun ini kerana mereka ada masa sehingga Mac tahun depan sebelum Dewan Rakyat mula bersidang.

“Kita akan beri penerangan di seluruh negara terlebih dahulu, perjumpaan dengan semua pihak, NGO Islam termasuk dialog dalam kalangan bukan Islam sendiri. Itu akan diadakan.

“Saya minta umat Islam jaga hubungan baik mereka dengan bukan Islam, apa yang pen­ting ialah untuk menunjukkan sokongan awam. Insya-Allah kita akan adakan rundingan dengan semua pihak pastikan himpunan raksasa ini dapat diadakan dengan sebaiknya,” jelas beliau.