Video oleh ANUAR MANSOR

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen.

“Perkara ini serius kerana jika kita tidak merokok tetapi kita tetap menjadi perokok pasif apabila terhidu bau asap rokok.

“Jadi, bagi perokok mereka perlu merokok di luar bangunan Parlimen kerana di dalam ba­ngunan tiada lagi kawasan untuk merokok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bulan Oktober Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini telah mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung tepi jalan di seluruh negara sebagai kawasan lara­ngan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Dalam perkembangan lain Dzukefly memberitahu, kementerian dijangka dapat mengekalkan peruntukan berjumlah RM27 bilion iaitu sembilan peratus daripada keseluruhan Bajet 2019.

Beliau berkata, meskipun peruntukan itu masih di tahap yang rendah dan tidak mengikut piawaian ditetapkan oleh Bank Dunia untuk sesebuah Kementerian Kesihatan, namun pihaknya memahami kekangan kewangan yang dialami negara.

Walau bagaimanapun kata beliau, pihaknya telah membentangkan keperluan Vaksin Pneumokokal sebagai ‘permintaan khas’ untuk Bajet 2019 seperti termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Sehubungan itu katanya, kementerian telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah Islam yang berpotensi menambah pendapatan kementerian dalam mengendalikan keperluan-ke­perluan yang kritikal.

“Perkara ini tidak rahsia lagi. Saya telah membentangkan inisiatif pelaburan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau meminta kami menyatakan cadangan tersebut kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Kementerian Kewangan,” jelasnya.