Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, contoh terbaik NBOS adalah pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Kata beliau, inisiatif UTC yang beroperasi menjangkau waktu biasa setiap hari termasuk hujung minggu, dilihat berjaya menjimatkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM2 bilion, memandangkan pusat itu dilaksanakan dengan mengubah suai bangunan sedia ada serta tempoh pelaksanaan pantas secara purata selama 10 minggu.

“Memang menjadi hasrat kerajaan untuk terus mengoptimumkan perbelanjaan, sebab itu kita memperkenalkan NBOS dan contoh terbaik melalui pelaksanaan 20 UTC di seluruh negara sahaja, kita berjaya menjimatkan perbe­lanjaan sebanyak RM2 bilion.

“Kalau kita mahu menubuhkan sebuah pusat baharu de­ngan ba­ngunan sendiri, ia memerlukan lebih kurang RM150 juta berban­ding UTC sedia ada yang disiapkan dengan kos dalam lingkungan RM35 juta sahaja. Ini adalah contoh yang jelas.

“Malah, sambutan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan UTC juga amat mengalakkan yang mana sejak tahun 2013, UTC telah memberi perkhidmatan kepada lebih 54 juta pengunjung,” katanya dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang meminta kerajaan menyatakan langkah penjimatan lain menerusi pelaksanaan NBOS.

Menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga kini, terdapat lebih 80 jabatan dan agensi kerajaan me­laksanakan 115 inisiatif NBOS secara kolaboratif.

Katanya, hasil kerjasama dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan juga berjaya memecahkan benteng lohong yang sebelum ini memberi kesan kepada kelancaran program-program kerajaan.

“Menerusi inisiatif NBOS yang dibina berdasarkan tiga prinsip tonggak iaitu berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan pantas, kerajaan dapat melaksanakan dasar-dasar negara dengan lebih efektif dengan kos yang lebih rendah berbanding cara konvensional.

“Misalnya, program Kerjasama Polis-Tentera membolehkan pa­su­kan polis menggunakan fasiliti pasukan tentera bagi tujuan latihan rondaan bersama di kawasan khas (hotspot) dan program Rehabilitasi Komuniti (CRP) membabitkan banduan tidak terlibat dalam kategori jenayah berat diberi latihan vokasional termasuk bidang pertanian dan ditempatkan di kawasan terkawal bukan di penjara. Kerjasama sedemikian sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan bagi membina fasiliti dan pusat latihan baharu,” katanya.

Tambah beliau, NBOS merupakan pemangkin penting kepada matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mana usaha kita untuk menjadi anatara 20 negara terbaik dunia harus direalisasikan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menambah bilangan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat.

“Saya diberitahu, salah satu program yang mendapat penerimaan sangat baik adalah Mobile CTC terutamanya di Sabah, kita menggunakan bas yang telah diubah suai dan memberi per­khidmatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang dilihat menjimatkan perbelanjaan mereka yang perlu ke pekan atau bandar.

“Jadi, saya sudah minta supaya Mobile CTC ini ditambah lagi agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rak­yat,” katanya.