Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada masa sama, terdapat situasi di ma­na penterjemahan dilakukan dalam bahasa lain termasuk bahasa Inggeris sebagai tujuan penjelasan sahaja.

“Perlembagaan Persekutuan me­­menuhi segala kehendak ber­kenaan perlindungan bahasa ke­­bangsaan, tetapi ada kalanya terjemahan dibuat dalam bahasa lain namun bahasa rasmi adalah bahasa Melayu kerana terjemahan bukan bahasa rasmi. Kalau tidak betul, itu adalah hal dia dan yang betul boleh dibawa ke mahkamah adalah ditulis dalam bahasa Melayu.

“Kadang-kadang ada orang yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa lain untuk menjelaskan sesuatu yang tidak difahami terutama orang asing yang tidak fasih bahasa Me­layu, sebab itu ada menteri yang menggunakan bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk memberi penjelasan namun itu adalah tidak rasmi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung laporan menyatakan beberapa kementerian menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil dalam urusan rasmi.

Dalam pada itu, mengulas ber­kenaan soalan tambahan Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar (PH-Segamat) mengenai penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa lain dalam surat ucapan kepada negara lain, Dr. Mahathir berkata, per­kara itu merupakan amalan biasa.

“Dalam konteks ini, hubu­ngan antara negara adalah amat penting maksud sesuatu surat difahami oleh sasaran. Malah saya selalu terima surat daripada orang Eskimo umpamanya, mereka memberi tafsiran dalam bahasa Inggeris kerana kalau tidak saya tidak boleh faham.

“Jadi, ini amalan biasa namun yang rasmi adalah bahasa kebangsaan dalam bangsa itu sendiri. Bagi Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi. Apabila kita tulis surat kita guna dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Shamsul Anuar yang meminta kerajaan memberi jaminan tentang hak-hak orang Melayu dan bumiputera, Dr. Mahathir berkata, hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetap terjamin dan dipertahankan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, kata beliau, perkara itu termasuk penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terjamin dan sebarang cadangan pindaan per­lu dirunding serta mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan kehendak Perkara 159 dan Perkara 38 Perlembagaan Per­sekutuan sebelum ia boleh dilaksanakan.