Ahmad Zahid Hamidi

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu amat penting supaya anggota-anggota yang ditugaskan itu tidak melakukan pakatan dengan penduduk tempatan, penyeludup dan pemerdagangan manusia untuk membenarkan ke­giatan jenayah mema­suki negara ini.

“Kita bersikap telus dan terbuka. Walaupun terdapat kes terpencil melibatkan pegawai penguat kuasa melakukan rasuah, tetapi kita pandang serius dari segi imej negara dan sudut perundangan.

“Oleh itu kita mahu pegawai-pegawai ini ditukar lebih kerap agar tidak melakukan kegiatan itu sama ada berpakat dengan penduduk tempatan atau penyeludup dan pemerdagangan manusia sekali gus lebih mudah pemantauan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dalam sesi soal jawab dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementerian telah menambah kekuatan anggota penguat kuasa di sempadan negara melalui penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang kini berjumlah 10,000 orang berbanding hanya 900 anggota sebelum ini bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung kawalan longgar di pintu-pintu masuk negara, Ahmad Zahid menegaskan, tidak ada penyeludup yang masuk melalui pintu masuk Jabatan Imigresen, begitu juga pengganas tidak melalui kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akui kawasan yang bolos bukan di pintu-pintu masuk utama, oleh itu kita berusaha untuk melakukan pemantauan di bawah radar seperti menggunakan dron, bukan hanya menempatkan kekuatan fizikal anggota keselamatan untuk ‘memagari’ kawasan sempadan negara,” katanya.