Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke bidang TVET dan Kolej Vokasional (KV), termasuk program khidmat bantuan di seluruh negara dan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan KV.

"Kementerian Pendidikan telah melaksanakan transformasi TVET sejak 2012 untuk mengangkat martabat aliran itu sebagai aliran perdana untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020," katanya menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sesi soal jawab lisan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Dr. Mansor Abd Rahman (BN-Sik), strategi kementerian dalam meningkatkan enrolmen pelajar luar bandar ke KV, Kamalanathan berkata, antara langkahnya ialah membuat hebahan melalui radio negeri, pengiklanan di suratkhabar serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Katanya, permohonan dalam talian bagi kemasukan ke institusi TVET sesi 2018 telah dibuka dan banyak permohonan diterima setakat ini.

Selain Kementerian Pendidikan, enam lagi kementerian yang turut terlibat dalam melakasanakan TVET ialah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - BERNAMA