Azalina Othman Said
Azalina Othman

Tujuh elemen itu ialah kesalahan-kesalahan melibatkan pornografi kanak-kanak, kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan pengan­tunan kanak-kanak (child grooming) dan kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan amang seksual (sexual assault) fizikal dan bukan fizikal.

Selain itu ialah hukuman tambahan turut diperuntukkan terhadap orang yang mempunyai perhubu­ngan amanah dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual itu serta peruntukan melibatkan kebolehpercayaan saksi kanak-kanak supaya keterangan mereka diberikan pertimbangan sewajarnya.

Pembentangan bacaan kali pertama rang undang-undang itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, ba­caan kali ke­dua dan ketiga rang undang-undang berkenaan akan dijalankan pada sesi persi­dangan kali ini.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah menjelaskan, rang undang-undang bernama satu akta itu adalah untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang tertentu.

Ini termasuk hukumannya sebagai tambahan kepada kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang lain untuk mengadakan peruntukan mengenai pentadbiran keadilan bagi kanak-kanak dan perkara berkaitan.