Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa, ini kerana, laporan audit berwibawa Ernst & Young (EY) mendapati Tabung Haji mencatatkan lebihan aset dari tahun 2015 hingga 2017.

Jelas beliau, pada tahun 2015, EY melaporkan Tabung Haji mencatatkan lebihan aset RM1.4 bilion, diikuti RM701 juta (2016) dan RM373 juta (2017).

“Sejak 2015, Tabung Haji telah menilai semua aset pada nilai pasaran semasa dan bagi tiga tahun lepas berdasarkan laporan yang disahkan firma audit luar, nilai aset Tabung Haji melebihi liabiliti.

“Maka, Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Abdul Azeez menambah, berdasarkan laporan kewangan PriceWaterhouseCoopers (PwC) yang dibuat pada bulan Ogos 2017 dan diberikan kepada Ahli Parlimen semalam, juga terkandung laporan EY yang menunjukkan aset Tabung Haji melebihi liabiliti dalam tiga tahun tersebut.

Selain itu, jelasnya laporan dan kedudukan kewangan Tabung Haji telah disemak Jabatan Audit Negara yang kemudian memperakuinya melalui sijil bersih setiap tahun. - UTUSAN ONLINE