Beliau berkata, fokus utama mesyuarat itu bagi menyelaraskan kesemua NGO yang berdaftar melalui Pendaftar Syarikat (ROC) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Jelas beliau, langkah proaktif perlu diambil segera bagi memantau NGO-NGO berkenaan selain bertindak sebagai usaha menangani masalah manipulasi dalam pertubuhan tersebut.

“Terdapat tiga kategori NGO yang berdaftar di negara ini, iaitu kategori pertama berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), persatuan sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan syarikat yang mendaftar sebagai NGO.

“Atas sebab itu, usaha penyelarasan perlu dilaksanakan kerana terdapat beberapa NGO kononnya mempejuangkan suatu isu tetapi sebenarnya menjadi satu kumpulan pendesak di luar akta pertubuhan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Khairul Azwan Harun mengenai usaha kerajaan dalam menyelaraskan pendaftaran NGO di negara ini, di Dewan Negara, hari ini. - UTUSAN ONLINE.