SHAMSUL ANUAR

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata, Nadma seharusnya diberikan kuasa untuk bergerak bersama-sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa-mang­sa di pusat penempatan banjir.

“Saya minta kerajaan kukuh­kan Nadma dengan beri lebih kuasa kepada agensi berkenaan dalam urusan membantu mang­sa bencana di pusat penempatan banjir bersama JKM.

“Polisi yang mengikat Nadma boleh diubah, yang penting rakyat terlibat bencana perlu dibantu sepenuhnya,” katanya dalam perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) berkata, Nadma seharusnya menjadi pe­rancang utama dalam menjalankan kajian untuk mengatasi banjir di negara ini.

“Nadma perlu menggunakan kepakaran yang ada untuk mengatasi bencana banjir. Contohnya, kaji apakah sistem saliran dan perparitan yang ada pada masa ini mampu menyelesaikan masalah banjir.

“Kenapa hal-hal seperti ini yang menjadi punca kepada bencana banjir tidak diteliti oleh Nadma,” soalnya.

Tambah beliau, setiap agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang tersendiri dalam menghadapi bencana banjir.

Oleh itu katanya, tiada keperluan untuk Nadma bertindak sebagai penyelaras kepada agensi-agensi berkenaan dan usaha harus ditumpukan kepada langkah pencegahan banjir.

habis-