Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menegur dan menasihati ahli Parlimen berkenaan supaya bersikap lebih serius dalam menghadirkan diri pada sesi penting seperti itu.

“Yang penting kita menang, namun saya sudah ambil tindakan dalaman terhadap Ahli Parlimen BN yang gagal hadir pada proses undi belah bahagian.

“Saya juga telah memberi peringatan kepada mereka supaya mengambil serius dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Kemanusiaan Halal Malaysia bagi Pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan bangunan Parlimen hari ini.

Isnin lalu, wakil-wakil pembangkang menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan proses undi belah bahagian yang dijalankan mengikut peraturan.

Mereka berbuat demikian selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengumumkan keputusan undi belah bahagian yang menunjukkan sebanyak 52 Ahli Parlimen bersetuju, 51 orang tidak bersetuju manakala dua orang lagi berkecuali. - UTUSAN ONLINE