Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini Malaysia dan AS komi­ted untuk meneruskan dialog dua hala bagi membincangkan isu perdagangan dan pelaburan menerusi Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan.

“Mengenai TPPA, saya dan rombongan Malaysia telah mengadakan dialog bersama ahli kongres AS dan menyarankan negara tersebut kekal bersama ahli TPPA untuk menjayakan perjanjian ini.

“Sekiranya perkara ini tidak berhasil, saya telah mencadangkan bahawa model TPPA ini dirangka kepada perjanjian perdagangan dua hala seperti FTA yang telah tertunda sejak 2008,” katanya.

Najib berkata demikian semasa menjawab pentanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai hasil lawatan beliau ke AS pada September.

Berdasarkan rekod, Presiden AS Donald Trump menandatangani arahan eksekutif negara itu untuk secara rasminya menarik diri daripada rundingan TPPA pada Januari tahun ini kerana menyifatkan perjanjian itu akan ‘membunuh pekerjaan dan meragut kepentingan AS'.

Sementara itu, Najib berkata, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar bagi Malaysia. dengan jumlah dagangan sebanyak RM135.9 billion pada 2016.

Perdana Menteri berkata, lawatan kerja beliau ke AS adalah atas jemputan Trump dan bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Aspek pelaburan dan perdagangan dua hala merupakan antara komponen utama lawatan saya ke AS dan aspek ini dititikberatkan memandangkan pentadbiran AS yang diketuai Trump dilihat mempunyai pandangan berbeza berhubung dasar ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang diamalkan sebelum ini.

“AS merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia, dan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan perdagangam terbuka, akan terkesan sekiranya AS mengamalkan sikap perlindungan perdagangan, yang menyukarkan akses pasaran ke negara tersebut,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Oleh itu, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memberi tawaran nilai kepada AS menerusi peningkatan pelaburan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Bhd serta kerjasama antara Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dan Boeing.

Najib menegaskan bahawa pelaburan untuk membeli pesawat Boeing dibuat oleh pengurusan MAB tanpa campur tangan politik.

“Perkara ini telah dijelaskan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew baru-baru ini bahawa memorandum perjanjian yang dimeterai antara MAB dan Boeing membabitkan pembelian pesawat baharu dan penyelenggaraan pesawat tersrbut, merupakan pelaburan jangka panjang MAB dan sejajar dengan pelan Transformasi MAB,“ katanya. – BERNAMA