Sekolah K9 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan bertujuan menangani isu keciciran murid sewaktu transisi dari tahun enam ke tingkatan satu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pensiang, Nabawan dan SK Bawang, Beluran di Sabah serta SK Long Bedian, Marudi di Sarawak.

“Kementerian sentiasa prihatin terhadap pendidikan bagi semua murid termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Johari Mat yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan sejauh mana usaha Kerajaan dalam membasmi keciciran pelajar luar bandar khususnya dalam kalangan masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.

Jelas Sin Woon, kementeriannya juga telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kadar penyertaan murid sekali gus mengurangkan bilangan keciciran ke sekolah.

Kata beliau, antara langkah yang dilaksanakan adalah menambah baik kemudahan asas, memperbanyakkan program motivasi, meningkatkan kesedaran ibu bapa, melaksanakan program bantuan seperti menyediakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Rancangan Makanan Tambahan, Skim Baucar Tuisyen, Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Selain itu, menurutnya, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan inisiatif peningkatan akses dari peringkat prasekolah sehingga menengah atas yang bertujuan menangani masalah keciciran di sekolah.

“Di samping itu, Program Transformasi Hala Tuju Murid Bumiputera Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan tumpuan kepada murid di sekolah menengah luar bandar dan pedalaman terutamanya di Pedalaman 1, Pedalaman 2 dan Pedalaman 3 di Sabah dan Sarawak,” katanya.