Wan Mohd. Nor Ibrahim

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim meminta pemohon mematuhi kehendak keselamatan kebakaran yang telah tertulis dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) bagi mengelak isu kelewatan bangunan dapat diduduki timbul.

Beliau berkata, keperluan tersebut merupakan syarat paling minimum yang perlu dipatuhi oleh setiap pihak terbabit.

“Sebenarnya proses memberi kelulusan kepada sesuatu pembangunan perlu diperkasakan di peringkat perancangan lagi supaya bangunan yang siap dibina mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

“Oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan. Di peringkat jabatan sendiri kita telah melaksanakan beberapa langkah transformasi antaranya mewujudkan Kod Kebakaran Malaysia dan Kod Amalan Untuk Kebakaran Dalam Bangunan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.

Wan Mohd. Nor berkata, aspek kejuruteraan di peringkat awal perancangan sesuatu pembangunan merupakan antara perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam konteks pematuhan keselamatan kebakaran.

Sementara itu beliau berkata, dalam usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada pelanggan, pihaknya telah membangunkan satu pangkalan data bagi memudahkan urusan mana-mana pihak dengan JBPM.

“Melalui pangkalan data tersebut, permohonan kelulusan bahan binaan, permohonan sokongan lesen perniagaan dan permohonan aktiviti kesedaran keselamatan awam boleh diakses oleh para pelanggan secara dalam talian tanpa berurusan di kaunter,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Nor turut merasmikan pra pelancaran penganjuran International Fire Conference and Exhibition Malaysia (IFCEM) yang bakal berlangsung pada 5 hingga 7 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“IFCEM merupakan forum utama yang melibatkan golongan profesional dalam industri keselamatan kebakaran dan kebombaan di Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Penganjurannya juga bertujuan mempromosikan produk dan teknologi kebakaran yang terbaharu.

“Sepanjang berlangsungnya IFCEM, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk persidangan antara ketua-ketua bomba bagi negara-negara Asia serta penglibatan lebih 70 syarikat dalam penyediaan 150 gerai pameran,” katanya.