Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pelantikan kedua-dua pemimpin itu bersesuaian dengan portfolio masing-masing.

Malah kata beliau, langkah itu sesuai dengan tanggungjawab mereka untuk menarik pelaburan.

"Saya melihat eloklah Khazanah pergi kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan juga Perdana Menteri.

"Saya tak nampak seperti bercanggah sangat kerana ia merangkumi bidang pengkhususan mereka untuk mendapatkan pelaburan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi memuat naik dalam akaun Twitter miliknya manifeso Pakatan Harapan berhubung pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam syarikat milik kerajaan (GLC) nasional.

Beliau secara sinis berkata, manifesto Pakatan Harapan bukanlah sebuah janji.

Manifesto berkenaan ada menyebut bahawa Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka. - UTUSAN ONLINE