Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu menjelaskan semua siasatan tidak terhenti di peringkat polis sahaja tetapi turut dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan akhir sama ada dituduh di mahkamah atau sebaliknya.

“Mana-mana individu boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan keputusan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya,” kata kementerian itu.

Lip Eng ingin tahu mengenai tindakan tegas selain ditukarkan ke jabatan lain terhadap tujuh anggota polis yang didakwa berhibur dengan tauke judi di Muar serta seorang anggota dilihat bermesraan dengan gadis dipercayai pelacur di Segamat.

Wakil rakyat tersebut mendakwa tindakan undang-undang terhadap penyiasatan polis yang dibuat secara ‘mala fide’ membawa kepada pendakwaan salah. - UTUSAN ONLINE