Malah, Ahmad turut meragui kerajaan Pakatan Harapan akan menjayakan pelan rasionalisasi syarikat pelaburan itu apatah lagi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan 'sengaja' menambah jumlah hutang dengan faedah 1MDB.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang menjadi satu-satunya ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, juga bertekad untuk terus bertanyakan soalan berhubung 1MDB kepada kerajaan Pakatan Harapan.

"Guan Eng kata hanya saya sahaja ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terus menyokong 1MDB. Namun, apabila saya menanyakan soalan, beliau (Guan Eng) tidak menjawab.

"Kenapa saya mesti percaya beliau 100 peratus dan kenapa perlu saya tidak percaya Arul Kanda 100 peratus. Itu pilihan saya untuk percaya Arul Kanda bahawa sememangnya aset 1MDB berjumlah RM42 bilion dan hutang RM31 bilion.

"Biarlah saya seorang sahaja ahli Parlimen yang terus bertanya tentang 1MDB kerana saya yakin tiada sebab Arul Kanda mahu berbohong kepada umum," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum itu sewaktu semasa penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, Ahmad 'berperang mulut' dengan Menteri Kewangan, Guan Eng mengenai isu 1MDB.

Guan Eng seolah-olah 'menyindir' Ahmad kerana menjadi satu-satunya ahli Parlimen BN yang masih mempertahankan 1MDB. - UTUSAN ONLINE