Menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, soal imej dan pakaian itu juga tertakluk kepada dasar syarikat penerbangan berkenaan.

Menurutnya, syarikat penerbangan juga perlu mematuhi standard keselamatan termasuk dalam situasi kecemasan.

Menjawab celahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang), Anthony berkata, kementerian tidak mempunyai perancangan mengubah peraturan sedia ada mengenai pakaian pramugari.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) turut mencelah membandingkan pakaian syarikat penerbangan tertentu di negara ini yang menurutnya terlalu mencolok mata berbanding negara lain.

"Perkara ini subjektif. Kalau rasa menjolok mata, mata tu jangan pandang kepada pramugari tersebut,” kata menteri itu. - BERNAMA