LIM GUAN ENG

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran pampasan tersebut bergantung pada kerugian yang dialami pemilik-pemilik tanah yang terlibat.

“Sekiranya pampasan dibayar, tanah tersebut akan jadi milik kerajaan Persekutuan jadi tidak lihat sebarang masalah kerana kerajaan akan mematuhi peruntukan undang-undang dalam Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) mengenai ribuan hektar tanah yang terlibat dalam projek mega yang dibekukan dan pemilik tanah masih belum mendapat bayaran pampasan.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, kerajaan tidak memberhentikan kira-kira 2,000 pekerja tempatan susulan pemberhentian projek ECRL sebaliknya tindakan tersebut dilakukan oleh kontraktor utama projek berkenaan iaitu China Communications Construction Ltd. (CCCC).

Walau bagaimanapun kata beliau, apabila keputusan muktamad diambil, kerajaan bersedia memberi bantuan sekiranya perlu terhadap pekerja tempatan yang terlibat.

“Pekerja-pekerja ini bukan diambil kerajaan Persekutuan tetapi oleh syarikat kontraktor CCCC, maka pampasan diuruskan syarikat tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE