Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu membolehkan penumpang tidak lagi perlu melalui pemeriksaan tubuh badan secara fizikal yang diguna pakai ketika ini.

Anthony Loke Siew Fook
ANTHONY LOKE SIEW FOOK

Katanya, pihaknya juga akan memperkenalkan penggunaan mesin pengimbas X-ray secara berperingkat.

“Jadi, selepas ini, raba-raba tidak akan berlaku lagi mulai awal tahun depan. Memang mesin ini telah ditempah dan akan sampai di KLIA tidak lama lagi.

“Kita juga harap dapat melaksanakannya secara berperingkat supaya setiap penumpang yang menggunakan KLIA perlu melalui pemeriksaan secara mesin pengimbas X-ray tanpa pemeriksaan badan secara fizikal,” kata­nya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusof (Pas-Rantau Panjang) yang meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan bila mesin pengimbas X-ray penumpang akan dilaksanakan di lapangan terbang.

Sementara itu beliau berkata, anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen akan ditempatkan di luar bilik menunggu khas orang kenamaan (VIP) di lapangan terbang dalam usaha membanteras aktiviti kegiatan haram termasuk penyeludupan wang.

Menurutnya, ketika ini, tiada anggota kastam mahupun imigresen yang ditempatkan di laluan khas VIP itu, malah segala urusan berkaitan dilakukan oleh pegawai pengiring VIP berke­naan.

“Kita sedar terdapat kelemahan dan kelonggaran dari segi laluan khas VIP itu. Jadi, kementerian mendapatkan kerjasama daripada agensi lain termasuk JKDM dan Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi menjamin tahap keselamatan dan pemeriksaan.

Beliau menjawab soalan tambahan Pang Hok Liang (PH-Labis) yang meminta kerajaan menyatakan langkah efektif yang diambil untuk memastikan laluan khas VIP tidak disalah gunakan untuk aktiviti kegiatan haram termasuk isu penyeludupan wang.