PANDIKAR AMIN MULIA

Sebaliknya Pandikar menegaskan, tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat serta memastikan perjalanan dan peraturan mesyuarat dipatuhi oleh setiap ahli Parlimen.

“Saya bukan pihak berkuasa untuk menginterpretasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya diberi kuasa untuk mentafsir peruntukan-peruntukan di bawah Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sehubungan itu, dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pagoh, Semporna dan Tambun, mereka bukan dihalang untuk berhujah, (mereka) sudah berhujah (di Dewan Rakyat) tetapi ada warganegara di luar sana yang berfikir hujah mereka itu melanggar sama ada Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Jadi, pihak polis telah mengambil tindakan untuk mengambil keterangan mereka dan nanti akan diserahkan kepada pihak berkuasa lain iaitu Peguam Negara untuk menilai sama ada ia melanggar akta tertentu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pandikar menjawab persoalan yang dibangkitkan Hanipa Maidin (PAN-Sepang) yang mahu Yang Dipertua Dewan Rakyat menjelaskan imuniti ahli Parlimen daripada disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Pandikar berkata, Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dalam isu tersebut.

“Perkara ini akan dipertimbangkan Peguam Negara sama ada hujah mereka melanggar mana-mana akta,” jelasnya.