Kesemua suspek terbabit be­kerja sebagai pengawal keselamatan dan memasuki negara ini melalui Sandakan, Sabah dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Bagaimana tujuh lelaki tersebut boleh diambil bekerja sedangkan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah?

Kementerian Dalam Negeri te­lah menetapkan bahawa pengambilan pekerja atau pengawal oleh syarikat kawalan keselamatan mesti mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Syarat itu dipaparkan dengan jelas dalam portal Sistem Agensi Persendirian dan Pengawal Ke­selamatan (e-PASG) yang diboleh dicapai melalui pautan http://kdnapps.kdn.gov.my/portal/guard.jsp.

Kegagalan syarikat kawalan keselamatan mematuhi syarat berkenaan boleh mengundang risiko keselamatan terhadap negara khususnya serangan pengganas atau menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum melancarkan serangan keganasan di negara lain.

Justeru, penegasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang Dewan Rakyat semalam bahawa mana-mana syarikat kawalan ke­selamatan yang mengambil pe­ngawal tanpa dokumen yang sah, menggunakan dokumen palsu atau terlibat dalam kegiatan jenayah boleh dibatalkan lesen berupaya memastikan kesilapan serupa tidak lagi berulang.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menyatakan, tindakan pembatalan lesen boleh terus diambil terhadap syarikat kawalan keselamatan terbabit tanpa perlu diberikan amaran terlebih dahulu.

Langkah itu memang wajar kerana kerajaan tidak perlu berkompromi dalam perkara yang menyentuh soal keselamatan negara termasuk tindakan syarikat kawalan keselamatan mengambil pekerja yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas serta jenayah.

Kegagalan syarikat kawalan keselamatan mematuhi syarat tapisan ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri dikhuatiri membuka ruang kepada anasir-anasir ekstremis melakukan serangan keganasan di negara ini lebih-lebih lagi sekiranya pe­ngawal keselamatan terbabit ditugaskan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai.