Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, sebagai sebuah negara sistem demokrasi, sesiapa sahaja berhak menyuarakan pendapat.

“Pada pendapat saya, subjudis kadang-kadang ter­pakai kepada sesetengah per­kara kerana kalau subjudis terpakai ke­pada kes se­perti ini (persempadanan semula kawasan pilihan raya) bermakna Dewan Rakyat ti­dak boleh buat apa-apa pun.

“Bagi saya biarlah Parlimen buat kerja, mahkamah buat kerja dan eksekutif buat kerja masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Komanwel 2018 anjuran Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia (CPA) bersama Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet, ba­ngunan Parlimen hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Di­pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Pe­ngerusi Per­satu­an Komanwel Ca­wangan Malaysia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said; dan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Pada 22 Mac lalu, Pandikar Amin memaklumkan pembentangan laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya bagi Persekutuan dan negeri di dalam negeri-negeri Tanah Melayu kali ke-6 2018 akan dilakukan esok.

Walau bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa Pandikar Amin menyekat laporan tersebut daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.

Mereka menggunakan alasan ke­rajaan Pulau Pinang telah memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan pada 17 Mac lalu dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah lalu menjadikan laporan kajian semula persempadanan itu sebagai subjudis.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Pandikar Amin enggan me­ngulas sama ada usul laporan kajian persempadanan semula itu akan dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sebaliknya.

“Saya tidak tahu. Perdana Menteri boleh minta mana-mana menteri bentangkannya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menegaskan tidak akan menarik balik keputusan menggantung tiga ahli Parlimen DAP iaitu Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) selama 10 hari mulai semalam.