Itulah kenyataan Naib Pre­siden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diajukan soalan mengenai bayangan pembentukan kerajaan campuran antara kedua-dua parti itu di empat negeri tadbiran mereka.

Jawapan diberikan Ismail Sabri itu juga dilihat senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menegaskan belum tiba masa untuk parti itu membincangkan cadangan menu­buhkan kerajaan campuran bersama BN.

Abdul Hadi per­caya cadangan di­lontarkan UMNO itu perlu diteliti dengan lebih terperinci.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menjelaskan, cadangan dibangkitkan itu akan diteliti dan diperincikan oleh jawatankuasa kerja yang ditubuhkan bersama UMNO dan Pas.

Beliau berkata, jawatankuasa kerja tersebut akan melihat secara terperinci cadangan pembentukan itu sebelum di­bentangkan kepada jawatan­kuasa induk yang telah ditubuhkan sebelum ini.

“Soal untuk me­wujudkan keraja­an campuran adalah perkara yang belum ditentukan, jawatankuasa kerja inilah yang akan melihat secara terperinci kalau ada keperluan untuk kerajaan campuran dan sebagainya.

“Jadi mereka perlu bentang kepada jawatankuasa induk dan jawatankuasa induklah yang akan melihat dan akhir­nya membuat keputusan. Bila ada keputusan, Majlis Tertinggi UMNO akan bincang begitu juga diperingkat tertinggi Pas, jadi memang terlalu awal,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, tambah Ismail Sabri, kerjasama UMNO dan Pas yang dahulunya kelihatan longgar dan tidak berstruktur dilihat berubah menerusi penubuhan jawatankuasa khas kedua-dua parti baru-baru ini.

“Hubungan kita longgar dan tiada struktur sebelum ini tetapi sekarang sudah berstruktur apabila kita menubuhkan jawatankuasa induk secara bersama.

“Tetapi kita belum ada perin­cian apa kerjasama lagi untuk masa depan yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.