Tengku Adnan Tengku Mansor

Tengku Adnan berkata, Ahli Parlimen DAP itu perlu terlebih dahulu membuka minda dan melihat apa kebaikan yang telah pun disediakan kerajaan demi kemudahan rakyat dan tidak bersikap hanya tahu membuat fitnah.

Beliau menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan RM70 juta setiap tahun untuk menyediakan bas percuma, GoKL City Bus demi manfaat warga Kuala Lumpur menggunakan kemudahan itu.

“Kerajaan menyediakan bas percuma untuk digunakan warga Kuala Lumpur. Yang Berhormat Seputeh perlu buka minda dan lihat kebaikan yang telah dibuat untuk rakyat jangan hanya tahu buka telefon dan buat fitnah sahaja.

“Selagi saya memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, saya akan pastikan rakyat senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kok yang mempersoalkan tindakan DBKL tidak memperluaskan penggunaan pengangkutan awam di ibu negara sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN- Setiawangsa) mengenai kesan yang diperoleh melalui program KL Car Free Morning, Tengku Adnan berkata, ia menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat sehingga pernah menarik penyertaan seramai 10,000 orang.

“Program ini pernah menjadi sebutan di peringkat antarabangsa. Buat masa ini program ini dilaksanakan di Kuala Lumpur dan masih belum bercadang untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain,” katanya.