Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tempoh menunggu kepada 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebelum ini adalah 102 tahun.

“Kita mempunyai keseluruhan pendeposit Tabung Haji lebih sembilan juta orang dan kira-kira 2.5 juta pendeposit telah tersenarai untuk pergi haji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berkenaan tempoh menunaikan haji dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, kerajaan masih mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 meskipun kos sebenar haji ketika ini adalah lebih RM14,000.

Beliau memberitahu, kadar hibah sebanyak 4.25 peratus serta tambahan 1.5 peratus kepada pendeposit belum pernah menunaikan haji yang diagih­kan Tabung Haji adalah lebih kompetitif dibandingkan dengan simpanan di institusi perbankan Islam lain.

“Jumlah keseluru­han hibah yang diagihkan Tabung Haji adalah sebanyak RM2.88 bilion kepada pendeposit untuk 2016.

“Simpanan di Tabung Haji adalah dijamin kerajaan dan pemberian hibah telah mengambil kira 2.5 peratus bayaran zakat Tabung Haji sebanyak RM60.3 juta,” jelasnya.