Rosnah

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tempoh lanjutan yang dibuat sebelum ini berikutan penstrukturan semula kadar tol oleh PLUS dan sebagai pampasan kepada persetujuan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar bayaran dalam tempoh tertentu.

“Tempoh konsesi ini asalnya bermula tahun 1988 hingga 2018, kemudiannya dipanjangkan ke 2030 melalui perjanjian konsesi tambahan pada tahun 1999 bagi tujuan pampasan ke atas keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian.

“Seterusnya tempoh ini dipanjangkan lagi kepada 2038 melalui perjanjian konsesi tambahan ketiga yang ditandatangani pada 2005, jika anda maklum, dari 2005 hingga 2014 tidak ada kenaikan tol,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Rosnah menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohd. Idris Jusi (PKR-Batu Pahat) yang ingin mengetahui mengenai langkah-langkah yang akan diambil kerajaan mengenai perjanjian konsesi tersebut.

Mengulas mengenai operasi di Lebuh Raya Utara Selatan, Rosnah berkata, sebanyak RM2.61 bilion berjaya dikutip sepanjang tahun lalu membabitkan 506 juta kenderaan.

Bagaimanapun katanya, jumlah keuntungan selepas cukai yang dicatatkan PLUS Expressway Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 hanya sebanyak RM8.4 juta selepas mengambil kira kos penyelenggaraan, kos operasi, menaik taraf dan membaik pulih lebuh raya.

“Walaupun pendapatan setiap tahun tinggi, perbelanjaan juga tinggi, pemegang konsesi perlu membelanjakan sejumlah besar wang untuk membayar balik faedah pinjaman, menaik taraf dan membaiki lebuh raya seperti pembinaan persimpangan bertingkat yang baharu apabila had kapasiti trafik dicapai.

“Dianggarkan secara purata, 50 peratus pendapatan tol digunakan untuk bayaran balik pinjaman, 20 peratus untuk operasi penyelenggaraan, 15 peratus hingga 20 peratus untuk kos menaik taraf dan membaik pulih manakala hanya 10 peratus pulangan kepada pemegang saham,” katanya.