Seperti tahu apa yang sedang bermain di fikiran para wartawan yang menunggu kelibat beliau di ruang legar berkenaan, Najib terus bergurau dengan wartawan mengenai teka-teki berkenaan tarikh PRU-14.

Luar daripada kebiasaan, sebaik sahaja beliau sampai di depan sekumpulan para wartawan, Najib pula yang memulakan pertanyaan mengenai pilihan raya sebelum sempat para wartawan bertanya tentang perkara itu.

“Bila nak pilihan raya? Nak umum apa pula hari ini?” soal beliau sambil tersenyum kepada para wartawan.

Pada 16 Februari lalu, ketika majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 anjuran MCA, Perdana Menteri turut mengambil pendekatan berseloroh ketika ditanya mengenai tarikh untuk diadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, teka-teki me­ngenai tarikh PRU-14 itu mungkin berakhir dalam waktu terdekat apabila Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Parlimen Ke-13 memulakan persidangan hari ini.

Ini kerana, usul persempada­nan semula kawasan pilihan raya dijangka dibentangkan sama ada pada minggu keempat atau kelima sidang Dewan Rakyat bagi membolehkan ia boleh digunakan dalam PRU-14.

Terdapat juga desas-desus mengenai kemungkinan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja usul tersebut yang menjadi keutamaan pada sidang kali ini dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.