Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, ketika ini pelbagai perancangan sedang dilakukan di lokasi terlibat untuk membangunkannya.

“Dalam usaha menarik pelabur, beberapa lokasi berpotensi dan mempunyai permintaan tinggi telah dikenalpasti sebagai keperluan untuk menambah keluasan taman-taman perindustrian sedia ada.

“Langkah ini bagi menampung permintaan pelabur supaya dapat menempatkan operasi perkilangan mereka. Namun pembangunan ini tidak semata-mata hanya tertumpu kepada kawasan dalam bandar kerana menjadi dasar kerajaan negeri untuk memba­ngunkan secara sama rata terma­suk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Zahir, bagi tujuan tersebut, PKNP akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan taman-taman industri terutama di kawasan luar bandar.

“Ini akan dilakukan dengan mengambil kira permintaan dan keperluan pelaburan dan jenis industri yang boleh dibangunkan di sesuatu kawasan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri turut akan mengenal pasti pelabur berpotensi untuk membuka operasi pengilangan mereka di kawasan luar bandar bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus menjana ekonomi penduduk tempatan,” katanya.