RAZALI IBRAHIM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ra­zali Ibrahim berkata, pendedahan berkenaan bukan bertujuan me­nu­ding jari terhadap mana-mana pihak kerana kes tersebut masih dalam siasatan polis.

“Zaman sekarang tak boleh sem­bunyi-sembunyi pun, ba­nyak benda akan terdedah. Jadi, saya akan menjawab di Parlimen. PA tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi Felda dan Pengurus Besar pada ketika itu.

“Ini bukan soal untuk mengatakan siapa betul dan siapa salah kerana siasatan polis masih sedang berjalan. Ada banyak syor atau penemuan yang didapati oleh audit forensik, cuma saya menjawab soalan ditanya tadi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

FAUZI ABDUL RAHMAN
FAUZI ABDUL RAHMAN

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang meminta kerajaan menjelaskan tentang individu yang menandatangani surat PA tersebut.

Kontroversi membabitkan ta­nah Felda berlaku apabila agensi tersebut dikatakan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan PA bagi membangunkan projek di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun pada Jumaat lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Felda berjaya memiliki kembali 16 lot tanah di Jalan Semarak setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan pemaju KLVC iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB).

Mengulas lanjut, Razali berkata, kesemua 240 dokumen yang terlibat dalam kajian audit telah diambil untuk melengkapkan siasatan.

“Malangnya, saya tidak boleh dedahkan 240 dokumen disiasat oleh audit forensik termasuk syor-syor yang dinyatakan kerana laporan itu juga diminta oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk digunakan sebagai salah satu dokumen siasatan,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan ba­hawa kerajaan akan memastikan isu serupa tidak berulang lagi de­­ngan me­nguatkuasakan pematuhan terhadap Perintah-perintah AM dalam semua jabatan dan agensi.

“Apa yang berlaku di Felda adalah satu pengajaran yang amat besar dan saya setuju kita tidak boleh biarkan isu ini berulang. Saya memberi jaminan tidak ada jabatan yang boleh terlepas daripada kajian audit,” katanya.