Kekecohan berlaku ketika persidangan disambung pada pukul 2.30 petang, dengan beberapa ahli Parlimen pembangkang mendesak RSN Rayer (PH-Jelutong) memohon maaf kepada Sivarraajh.

Ini ekoran tindakan Rayer pada 5 Disember lalu mempersoalkan kehadiran Sivarraajh dalam sidang Dewan Rakyat susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, yang akhirnya membuatkan Ahli Parlimen Cameron Highlands itu diarah keluar oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada mulanya dilihat cuba berlembut tetapi tidak melayan tuntutan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) supaya Rayer memohon maaf.

Desakan secara berterusan dan mengganggu sesi perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2018, menyebabkan Mohd. Rashid akhirnya hilang sabar dan mengarahkan Tajuddin dan Bung Moktar keluar daripada sidang Dewan.

Didapati beberapa lagi barisan pembangkang khususnya daripada Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati turut meninggalkan Dewan.

Mohd. Rashid kemudian menyatakan arahan keluar itu hanya berkuat kuasa untuk tempoh sehari.-UTUSAN ONLINE