IRMOHIZAM IBRAHIM

Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan koordinasi keseragaman tugas dan penguatkuasaan maritim memandangkan pada masa ini begitu banyak khazanah laut negara dikaut oleh nelayan-nelayan asing.

Menurutnya, keada­an itu dibuktikan apabila negara kehilangan sumber perikanan sebanyak 980,000 tan metrik bernilai antara RM3 hingga RM6 bi­lion setiap tahun akibat pencerobohan nelayan negara jiran.

“Jawatankuasa khas tersebut dicadangkan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya percaya dan yakin penubuhan jawatankuasa khas ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama dan fungsi-fungsi sedia ada yang diamalkan oleh agensi penguatkuasaan maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Irmohizam, data­ menunjukkan sejak 2016 sehingga kini, sebanyak­ 256 kes tangkapan bot asing dengan nilai rampasan dianggarkan RM108 juta telah dibuat oleh pihak berkuasa melibatkan 2,199 orang nelayan asing ditahan daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.

“Selain itu, kita juga dikejutkan dengan berita pegawai kanan agensi berkaitan industri perikanan yang telah memperoleh keuntungan atas angin sebanyak RM200,000 hanya untuk melepaskan bot nelayan yang ditahan manakala RM5,000 sebulan bagi kelulusan permit menangkap ikan.

“Ini adalah suatu perkara yang harus ditentang sekeras-kerasnya oleh kita semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar sebuah pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dibina di Kuala Selangor demi mewujudkan suasana aman dan selamat kepada nelayan di kawasan tersebut.

habis-